Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sedia melayani serangan ahli-ahli Parlimen pembangkang terhadapnya susulan kenyataan beliau yang mengelirukan Dewan Rakyat berhubung pulangan balik wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun beliau sedia melawan balik serangan pembangkang itu berdasarkan penyalahgunaan dana awam yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Itu (rompak) macam mana kita nak tafsirkan, sekiranya kita beri peruntukan kepada KPKT, kementerian mesti gunakan penuntukan untuk tujuan yang dinyatakan.

“Sekiranya ia digunakan untuk tujuan lain, itu adalah istilah tersendirinya.

“Kalau nak sentuh tentang laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) perkara ini (rompak) tidak disentuh, tentu pihak pembangkang nak sentuhlah.

“Kalau dia ungkit, kita akan layan dan lawan sama mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mahu merujuk Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan rumusan laporan PAC bahawa wang GST tidak hilang.

Najib mendakwa rumusan itu membuktikan Guan Eng telah berbohong kerana mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan kehilangan wang GST.

Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC.

Ketika ditanya tentang hasrat pembangkang mahu merujuk ahli Parlimen Bagan itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebabasan Parlimen, beliau bagaimanapun menyifatkan ia adalah satu permainan pembangkang untuk mengalihkan isu.

“Dia nak alihkan perhatian kerana perbicaraan Najib dan tentangan daripada beberapa pemimpin UMNO ke atas pelantikan Datuk Seri Najib sebagai penasihat (BN).

“Itu biasa, dia nak alihkan perhatian, jadi itulah tugas mereka, kita faham, biar mereka jalankan tugas mereka masing-masing

“Kita pun jalankan tugas pihak kami masing-masing, yang penting pastikan wang yang sepatutnya dikembalikan kepada pembayar cukai tetap dikembalikan kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette