Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – ‘Kepulangan’ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional didakwa tidak menampakkan hasil positif.

Sebaliknya UMNO yang mula bersatu di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan kembali berpecah, berpuak dan saling tuduh-menuduh.

Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin mendakwa, perkembangan ini nampak jelas yang ramai pemimpin dan ahli UMNO serta orang Melayu yang boleh berfikir tidak setuju dengan gabungan Zahid-Najib ini.

Bagaimanapun, katanya, inilah cara Pengerusi BN dan Presiden UMNO, mencari burung sewarna dalam kalangan orang kena tuduh (OKT).

“Kalau kita tengok gambar yang disiarkan oleh media massa, ada tiga OKT di dalamnya – Najib, Zahid dan Datuk Seri Adnan Mansor.

“Zahid perlukan Najib sebagai rakan oleh sebab dia tentunya tidak berasa selamat bersama pemimpin Umno/BN yang bebas tuduhan.

“Pelantikan Najib berlaku sebaik saja Zahid kembali bertugas sebagai Presiden UMNO pada 30 Jun lalu setelah bercuti mulai 18 Disember lepas,” katanya.

Menurut wartawan veteran itu, Ahmad Zahid memerlukan Najib selepas kepulangannya tidak dialu-alukan oleh sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO.

Dakwa beliau, ramai pemimpin dan ahli bersikap sederhana, waras dan berpandangan jauh mahu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, terus memangku tugas presiden.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid tentunya berasa cemburu dan terancam dengan penerimaan baik ahli dan pemimpin UMNO terhadap Mohamad, termasuk Khairy Jamaluddin yang disifatkannya sebagai watak menanti yang penting dalam politik UMNO dan negara.

Faktor Mohamad-Khairy ini telah mula menyuburkan imaginasi banyak pihak dalam dan luar UMNO yang melihat gandingan mereka sebagai menjanjikan harapan perubahan dan pemulihan kepada parti itu.

“Zahid tentu tidak berasa terancam dengan Najib bukan sahaja kerana mereka sama-sama OKT (orang kena tuduh) tetapi mungkin dalam perkiraan Zahid tuduhan terhadap Najib adalah lebih berat daripada tuduhan terhadapnya.

“Zahid juga terpengaruh dengan reaksi dan penerimaan terhadap kempen “Bossku” dan mahu tumpang sekaki.

“Untuk kekal relevan kepada kelompok Melayu tradisional dan merapatkan diri dengan Pas, Zahid perlu terus menampilkan dirinya sebagai jaguh Melayu dan Islam.

“Tetapi Pas nampak lebih selesa dengan Mohamad daripada Najib atau Zahid. Ini mungkin kerana Pas tidak mahu terpalit dengan kes mahkamah Najib dan Zahid,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid perlu menjaga hati MCA dan MIC yang merupakan pelengkap kepada BN.

MCA dan MIC lebih percaya kepada Najib berbanding Ahmad Zahid, lantaran itu UMNO memerlukan MCA dan MIC walaupun kedua-dua buah parti itu ibarat rumput di tengah jalan.

Ini kerana, tanpa MCA dan MIC, gabungan UMNO-Pas tidak ada perwakilan bukan Melayu.- MalaysiaGazette