Fizo dan Mawar sah bercerai pada 10 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Pelakon Fizo Omar menafikan punca perpisahan dengan bekas isteri Mawar Abdul Karim kerana melebihi ibunya Hasnah Jidin, 59, dan ahli keluarga lain.

Fizo, 34, menjelaskan, tindakan dan komen negatif netizen yang tidak tepat itu telah membuatkan ahli keluarganya menjadi mangsa.

Anak kelahiran Kelantan itu berkata, isu dia menjadi anak emak sudah kedengaran sejak berbelas tahun kerana telah menjaga ibu dan adik-adik sejak arwah bapa meninggal.

“Bila kenyataan saya dan Mawar dimanipulasi mereka mula salahkan keluarga Mawar dan keluarga saya.

“Kenyataan Mawar kurang jelas dan saya tidak pasti apa yang ingin disampaikan. Tapi saya percaya dia orang yang baik dan tidak akan burukkan mak mentua sendiri,” katanya kepada sebuah program hiburan televisyen.

Rabu lalu, Fizo melafazkan cerai terhadap isterinya, Mawar Abdul Karim di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Bagaimanapun, kenyataan Mawar bahawa dia terpaksa mengorbankan kasih sayang demi kebahagiaan Fizo sekeluarga menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.

Fizo berkahwin dengan Mawar pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam, 2. – MalaysiaGazette