Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mengajak mana-mana ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Nazri Aziz adalah ahli UMNO yang tegar dan tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bersama PH.

“Bila dia kata nak masuk PKR, dia bincang dengan saya sepatah pun tak sebut tentang tu.

“Tidak ada sebut (nak sertai PH), dia kata dia UMNO tegar,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, hari ini.

Hadir sama Nazri Aziz yang merupakan salah seorang ahli Kaukus daripada pihak pembangkang.

Di luar mesyuarat, Nazri Aziz mengulangi kenyataan bahawa beliau menyokong Anwar kerana beliau adalah seorang yang reformis.

Malah bekas menteri di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu berkata, tidak salah ahli UMNO untuk menyokong Anwar.

“Saya cuma sokong Anwar Ibrahim, takkan dalam UMNO tak boleh sokong beliau.

“Beliau adalah Ketua Pemuda saya dulu, (jadi sokong Anwar?), saya kata diri saya (yang sokong Anwar).

“Tidak ada salah (duduk dalam UMNO tapi sokong Anwar). Saya akan tetap bersama UMNO,” katanya kepada media.

Nazri Aziz sebelum ini lantang mempertikaikan keputusan Barisan Nasional (BN) melantik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dituduh di mahkamah sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN. – MalaysiaGazette