Dr Amir Radzi Ab. Ghani

SHAH ALAM – Seorang pakar fizik hari ini tidak bersetuju dengan teori yang diutarakan oleh Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkenaan formula pengiraan daya yang mengenai anggota bomba sehingga menolaknya menyebabkan tulang rusuk kiri di bahagian belakang patah.

Menurut Dr Amir Radzi Ab. Ghani, kesilapan yang dibuat Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu apabila beliau mengambil kira berat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sebaliknya, kata beliau, hanya berat pintu van yang menghentak belakang Muhammad Adib Mohd Kassim perlu masukkan dalam pengiraan, bukannya keseluruhan berat van.

Malah tambahnya, berat anggota bomba itu juga tidak perlu diambil kira.

Berikutan itu, Amir Radzi yang juga Pensyarah Kanan Fakukti Kejuruteraan UiTM bersetuju dengan teori pengiraan yang dibuat oleh Profesor Dr Shahrom Abd Wahid sebelum ini.

“Dalam kes, sepatutnya berat Adib tidak patut dimasukkan. Tidak boleh menghasilkan daya dalaman sendiri.

“Berat EMRS hanya boleh diambil kira sekiranya impak secara langsung tetapi hanya pintu van yang melanggar dia.

“(Jadi) Saya tak bersetuju yang kedua (teori Hafizam) mengambil kira berat kenderaan dan mangsa,” katanya kepada Mahkamah Koroner semasa inkues hari ini.

Katanya, Muhammad Adib tidak akan mengalami kecederaan serius seperti di dada kanannya dengan keadaan sedang bergerak apabila dihentak daun pintu van berbanding jika anggota bomba yang bertugas pada malam rusuhan kuil Sri Maha Mariamman itu statik.

“Kesan jatuh kalau dia sebelum jatuh bergerak tidak serius berbanding dia statik sebelum jatuh (jatuh ke objek selepas dihentak pintu).

“Dia akan jatuh di situ juga (tidak akan terhumban) berbanding kalau dia statik,” tambahnya merujuk kepada kecederaan dada kanan Adib yang sebelum ini didakwa Hafizam diakibatkan terhumban selepas dihentak dan didorong EMRS. -MalaysiaGazette