KUALA LUMPUR – UNI Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) menegaskan Skim Lindung 24 Jam tidak wajar dimansuhkan, sebaliknya kelemahan berkaitan kadar caruman dan mekanisme pembiayaan perlu diperbaiki melalui proses libat urus.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, perlindungan 24 jam merupakan reformasi penting dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial negara, khususnya bagi merapatkan jurang perlindungan terhadap pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan secara langsung dengan pekerjaan.
Menurut beliau, sebelum pelaksanaan skim ini, kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan pada asasnya tidak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja.
Pekerja yang tuntutannya ditolak masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS), iaitu badan tribunal yang mempertimbangkan rayuan Orang Berinsurans berhubung kelayakan mendapatkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) namun hanya sekitar satu atau dua daripada setiap 20 kes, yang boleh diluluskan kerana mempunyai kaitan dengan bencana kerja.
Selebihnya tidak memenuhi syarat kelayakan di bawah peruntukan sedia ada, tambahnya.
Namun, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah mereka yang tidak layak tersebut tetap merupakan pekerja yang mengalami kemalangan dan ada antaranya mengalami hilang upaya kekal.
Mereka bukan tidak mengalami musibah, tetapi tidak mendapat perlindungan sewajarnya disebabkan oleh keterbatasan skop perlindungan di bawah undang-undang keselamatan sosial pekerja pada ketika itu dan ia memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka.
“Ada pekerja yang kehilangan pendapatan akibat tempoh cuti sakit yang panjang dan tidak bergaji. Ada yang mengalami kecacatan kekal sehingga tidak lagi mampu meneruskan pekerjaan tanpa menerima pampasan atau perlindungan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan.
“Dalam keadaan yang lebih menyedihkan, terdapat keluarga yang terpaksa menghentikan persekolahan anak-anak, gagal membayar sewa rumah dan kehilangan sumber pendapatan utama.
“Golongan yang sebelum ini berada dalam kategori M40 juga boleh jatuh ke dalam kemiskinan akibat hilang upaya yang dialami. Inilah jurang perlindungan yang perlu kita lihat apabila kita membincangkan Lindung 24 Jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, para pekerja memerlukan skim perlindungan bagi kemalangan bukan bencana kerja yang mampu memberikan perlindungan lebih menyeluruh, termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Orang Tanggungan, tertakluk kepada syarat skim.
Mengenai kadar caruman, Mohamed Shafie berkata, kadar penuh sebanyak 1.25 peratus daripada gaji dengan siling gaji RM6,000 perlu diberikan perhatian kerana memberi implikasi kepada pendapatan pekerja.
Katanya, UNI-MLC bersetuju dengan pendekatan pelaksanaan secara berfasa, iaitu 0.75 peratus bermula Jun 2026, satu peratus bermula Jun 2028 dan 1.25 peratus bermula Jun 2031.
Beliau berkata, tempoh sehingga 2031 juga memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai semula kadar gaji minimum kebangsaan daripada RM1,700 kepada struktur gaji yang lebih baik bagi mengurangkan tekanan akibat peningkatan caruman berkanun.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan gesaan supaya kutipan caruman dihentikan bukan penyelesaian yang akan memperkukuh kebajikan pekerja sekiranya tiada mekanisme perlindungan alternatif yang setara atau lebih baik.
“Jangan hentikan caruman, perbaiki apa yang perlu diperbaiki. Menghentikan caruman hanya berisiko membuka semula jurang perlindungan yang selama ini cuba ditangani,” katanya.
Beliau berkata, cadangan supaya caruman dikongsi antara pekerja dan majikan juga boleh dibincangkan melalui proses libat urus, termasuk menilai semula kadar caruman dan mekanisme pembiayaan.
Katanya, perbezaan pandangan berhubung Lindung 24 Jam seharusnya tertumpu kepada kaedah pembiayaan dan kadar caruman, bukannya mempersoalkan keperluan pekerja terhadap perlindungan 24 jam.
Mohamed Shafie turut menyeru kerajaan, Perkeso, majikan dan wakil pekerja kembali ke meja rundingan bagi menilai kadar caruman, mekanisme pembiayaan, tahap faedah serta kaedah pelaksanaan skim berkenaan secara menyeluruh.
Jelasnya, perbahasan mengenai Lindung 24 Jam juga tidak wajar digunakan untuk menggambarkan seolah-olah Perkeso tidak komited terhadap kebajikan pekerja.
“Selama lebih lima dekad, Perkeso telah memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem keselamatan sosial negara serta menyediakan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka ketika berhadapan dengan kemalangan, keilatan, kehilangan pekerjaan dan kehilangan pencari nafkah utama,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan UNI-MLC kekal dengan pendirian bahawa Lindung 24 Jam tidak harus dimansuhkan, sebaliknya sebarang kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki melalui libat urus semua pihak berkepentingan.
“Prinsip asas perlindungan 24 jam kepada pekerja tidak boleh dikompromi atau diundur kerana Lindung 24 Jam bukan beban, ia adalah jaringan keselamatan untuk pekerja dan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette
















