Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kiri) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (dua kanan) berbual mesra dengan sebahagian pegawai kemajuan perkampungan pada Majlis Perjumpaan YB Menteri Bersama Pegawai Kemajuan Perkampungan di Bangunan Sementara Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Semua lantikan politik bagi jawatan Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu melalui tapisan ketat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun jawatan itu dilantik daripada parti pemerintah namun mereka perlu menepati syarat dan kelayakan asas yang ditetapkan.

“Semua adalah lantikan politik tapi mereka melalui tapisan JPS. Ada syarat asas tentang penguasaan dalam Bahasa Malaysia, kelayakan minimum akademik, SPM, umur dan beberapa kriteria lain.

“Jawatan ini kena lantikan politik sebab mereka datang daripada parti pemeritah, ini adalah sebahagian daripada peruntukan yang telah dibuat.

“Kita hanya ikut proses dan saya fikir dalam proses itu ia tidak penting sama ada ia lantikan politik atau tidak kerana ia akan pergi kepada kelayakan akademik, ia sekadar nama lantikan politik,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan PKP kepada 65 anak muda Cina yang layak.

Zuraida berkata, pelantikan PKP itu merupakan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha membangunkan kampung baru di seluruh negara.

“Setiap PKP yang dilantik ini diberikan elaun RM1,900 sebulan untuk membangunkan kampung baru,” katanya.

Katanya lagi, PKP menyaksikan seramai penyertaan wanita lebih 30 peratus kouta yang ditetapkan kerajaan

“Sebanyak 39 peratus daripada lantikan PKP, KPKT selalu menekankan bahawa cuba sebaik mungkin capai 30 peratus kouta wanita.

“30 peratus daripadanya adalah orang muda kerana mereka boleh beri idea segar dan mantap.

“Insya Allah mereka akan bertolak ke Pusat Latihan KPKT di Bukit Tinggi untuk latihan dua hari.

“Mereka ini lantikan baru kerana kita baru ambil alih kerajaan pusat di mana selama ini memang tiada lantikan PKP dan ini kali pertama,” katanya.

Untuk permulaan, PKP hanya diletakkan seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak pula dalam perancangan akan datang.

Ketika ini terdapat 613 Kampung Baru di seluruh negara dan bakal diuruselia oleh 65 PKP. – MalaysiaGazette