Hospital Canselor Tunku Muhriz.-pix FB

KUALA LUMPUR – Pakar Forensik Hospital Canselor Tunku Muhriz hari ini mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada badan warga Nigeria yang mati ketika berada dalam tahanan Imigresen pada Selasa 9 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurusan HCTM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bedah siasat telah dijalankan oleh Pakar Forensik di Bilik Mayat Hospital jam 9 pagi tadi.

“Berdasarkan pemeriksaan forensik yang terperinci pada badan Orhions Evansiha Thomas, 34, pakar forensik telah mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan fizikal pada badan si mati.

“Laporan lengkap bedah siasat akan dikeluarkan apabila semua keputusan ujian makmal termasuk toksikologi diperoleh untuk memastikan sebab kematian,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan itu menyusul sebagai merujuk kepada kenyataan Jabatan Imigresen pada 14 Julai lalu mengenai kematian Orhions ketika berada dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Pengurusan HCTM berkata panggilan diterima daripada pusat kecemasan pada 9 Julai lalu sekitar jam 12.08 pagi.

Panggilan itu memaklumkan terdapat seorang yang berada dalam lokap telah mengidap sawan dan berada dalam keadaan tidak sedar diri.

Pasukan ambulans daripada hospital telah bertolak pada jam 12.10 pagi dan tiba di lokap Imigresen jam 12.30 pagi.

Setibanya ambulans di lokap Imigresen, penama berkenaan berada dalam keadaan tidak bernyawa.

Pengurusan HCTM menambah mayat kemudian dihantar ke hospital berkenaan oleh polis untuk proses bedah siasat pada jam 5 pagi- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tahanan Nigeria mati terkena sawan – Jabatan Imigresen