Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini menetapkan 24 Julai sebagai sebutan untuk permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan terhadap Peguam Negara (AG), Tommy Thomas.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, permohonan itu belum diproses namun beliau akan menelitinya.

Semalam, bapa anggota bomba yang meninggal dalam rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya pada 17 Disember 2018, Mohd Kassim Abdul Hamid membuat permohonan agar Tommy dibicarakan kerana didakwa menghina mahkamah ekoran afidavitnya yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan akibat dipukul. 

“Belum diproses, permohonan itu (ex-parte) dalam sistem.

“Tapi tak apa saya akan berurusan dengan pihak pendaftaran dalam seminggu,” katanya sebelum prosiding inkues kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ditangguhkan.

Rofiah juga akan membuat ketetapan sama ada inkues akan berakhir setakat hari ini atau memanggil seorang saksi baharu yang merupakan pakar patologi pada minggu depan.

“Saya juga akan buat keputusan untuk kita tutup inkues atau akan panggil saksi baru,” katanya.

Pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin kemudian memaklumkan pemberita bahawa Majlis Perubatan Malaysia akan menentukan saksi yang sesuai dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya ia ditetapkan kelak.

“Jika mahkamah bersetuju untuk panggil saksi pakar forensik kita akan minta cadangan Majlis Perubatan Malaysia untuk kemukakan saksi tersebut,” kata Faten yang juga Timbalan Pendakwa Raya.

Cadangan memanggil pakar patologi bebas dalam prosiding inkues dilakukan selepas keterangan kedua-dua saksi sebelum ini iaitu Dr Ahmad Hafizam Hasmi (Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur) dan Profesor Dr Shahrom Abd Wahid mmencetuskan pertikaian kerana berselisih pendapat mengenai punca kematian anggota bomba tersebut.

Justeru itu, pakar patologi bebas tersebut akan menilai kedua-dua keterangan terdahulu.

Inkues telah bersidang 41 hari sejak 11 Febuari yang lalu. -MalaysiaGazette