Penulis, Shahbudin Husin (kanan) beramah mesra dengan Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A. Kadir Jasin (kiri) serta para panel yang lain ketika hadir pada Program Jelajah Diskusi Buku Anwar PM Ke- 8 di Me'nate Steak Hub Shah Alam. Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2019.

SHAH ALAM – Pelabur asing masih dalam keadaan bersiap sedia dan menunggu peralihan kuasa di antara Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membawa pelaburan ke negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin berkata, walaupun pelaburan asing beransur masuk, namun ia masih bergantung kepada proses peralihan kuasa itu.

“Mereka yakin atau tidak yakin untuk bawa duit ke negara kita ialah sekiranya ada peralihan kuasa yang lancar daripada Tun Dr Mahatir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tengok dalam 60 peratus adalah orang Cina, selebihnya orang Amerika Syarikat, orang Jepun dan banyak lagi termasuk orang Eropah.

“Pelabur sudah pun mula melabur, cuma kalau mereka yakin mereka akan datang lebih cepat atau lebih banyak,” katanya berucap dalam Diskusi Buku Anwar Perdana Menteri ke-8, di sini, hari ini.

Kadir juga menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan janji yang dibuat dalam manifesto lalu ditunaikan termasuk peralihan kuasa itu.

“Kerajaan perlu lakukan dan perlu menjadi semacam satu mantera kita itu bahawa kita sudah putuskan dari awal,” katanya.

Ditanya tentang peralihan kuasa, beliau berkata, ia telah ditentukan dalam manifesto dan proses rundingan telah berjalan lancar sebelum ini.

“Ketika berunding, sudah putuskan, dalam manifesto kita sudah putuskan dan rakyat jelata menerimanya bahawa selepas Tun Dr Mahathir adalah Datuk Seri Anwar.

“Saya rasa tiada pertikaian lagi. Tarikh itu macam kita kata, Datuk Seri Anwar tak kata esok lusa, malah beliau pernah kata bagi masa Tun Dr Mahathir untuk jalankan tugas.

“Bila sampai waktunya akan beralih, saya rasa Datuk Seri Anwar lebih daripada faham,” katanya. – MalaysiaGazette