Nazri Ahmad. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019.

GEORGE TOWN – Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) melahirkan rasa kecewa dengan pendirian Kerajaan Negeri yang seolah-olah menggambarkan nelayan negeri ini bersetuju dengan projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri ini sekiranya diberi pampasan setimpal.

Pengerusi Pen Mutiara, Nazri Ahmad hari ini berkata, sebaliknya para nelayan di negeri ini pada mesyuarat telah bersetuju dengan pendirian untuk menolak projek berkenaan.

“Untuk makluman Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutama Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow), kami (nelayan) tidak berminat dengan soal pampasan kerana bagi tempoh jangka panjang ia tidak berbaloi malah kita sendiri tidak tahu bila projek itu akan siap,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Projek tambak itu bukan sahaja memusnahkan mata pencarian dan rezeki nelayan malah memusnahkan sumber ikan di perairan Pulau Pinang.

“Saya boleh katakan semua nelayan di negeri ini tidak bersetuju dengan projek tambak laut sebab itu kami turun berarak ke Parlimen baru-baru ini bagi menunjukkan kesungguhan kami menolak cadangan tambak laut ini sepenuhnya, bukannya mendesak mahu diberi pampasan,” katanya.

Pihaknya juga berharap Kerajaan Negeri akan melibatkan persatuan nelayan dalam pertemuan khas itu, yang akan diadakan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, nanti.

Chow semalam mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengatur pertemuan khas dengan Anwar bagi menjelaskan mengenai rancangan projek itu susulan pertemuan Anwar dengan lebih 200 nelayan di Teluk Kumbar di sini pada Sabtu lepas. – Bernama