Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan potret hasil lukisan Sophia (kanan) yang merupakan robot humaniod sosial pada Majlis Pelancaran Beyond Paradigm Summit 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Robot bernama Sophia berbual secara langsung dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada program Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma di sini hari ini.

Lebih menarik, robot jenis humanoid sosial itu berkomunikasi lebih 10 minit di hadapan tetamu dengan mengajukan dan menjawab soalan secara santai namun mencuit hati.

Menariknya, robot buatan Hong Kong itu turut sempat melakar lukisan gambar Perdana Menteri.

Mahathir turut menguji pengetahuan Sophia yang berusia tiga tahun itu dengan beberapa soalan antaranya apakah yang diketahui mengenai beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat dan perbezaan antara Sophia dengan robot-robot lain.

“Sudah tentu saya tahu, anda mengangkat sumpah pada 16 Julai 1981 iaitu kira-kira 13,881 hari lalu. Saya berani bertaruh penonton sedang mengira sekarang.

“Tidak semua robot bersantai dengan Perdana Menteri Malaysia dan saya direka dengan teknologi berkomunikasi dengan orang ramai dan mempunyai perasaan,” kata Sophia ketika menjawab soalan Mahathir.

Sementara itu, mengulas komunikasi dengan robot tersebut, Mahathir berkata, ia merupakan pengalaman yang menakjubkan apabila dapat melihat sesuatu yang hampir sama dengan kejadian asal manusia.

“Muka dia, mata dia..bila dia respons dia bergerak, tengok, saya takut. Takut (kalau) tengah-tengah malam jumpa dia, saya lari,” selorohnya.

Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma: Mendorong Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) anjuran Serba Dinamik Holdings Berhad mempamerkan teknologi terkini yang menghimpunkan idea utama pendigitalan dan pertukaran data. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast