Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, terpulang kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama ada ingin bercuti sementara atau meneruskan tugasnya.

Perdana Menteri menegaskan, ini kerana Timbalan Presiden PKR itu belum didapati bersalah selagi tiada bukti yang melibatkan dirinya.

“Terserah kepada beliau mahu mengambil cuti atau meneruskan kerjanya kerana anda tidak bersalah sehingga terbukti.

“Keseluruhannya adalah mengenai gerakan politik bukan tentang mendedahkan salah laku seseorang tetapi lebih untuk menghalang seseorang berjaya dalam karier politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Beyond Paradigm Summit 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Mahathir mengulas saranan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang menggesa agar pemimpin dan penjawat awam yang terpalit dengan video intim itu bercuti.

Dalam satu kenyataannya semalam, Shamsul Iskandar menggesa agar pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku membantu pihak berkuasa dengan ‘bercuti sementara’ sehingga siasatan selesai.

Langkah itu penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

Timbalan Menteri Industri Utama itu bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pemimpin yang digesa bercuti itu.

Namun Mohamed Azmin dalam respon segeranya menyindir Shamsul Iskandar agar jangan menjadi munafik.- MalaysiaGazette