Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli parlimen PKR hari ini menegur presiden mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar yang mahu timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti sekiranya video seks yang dikaitkan dengannya itu tulen.

“Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata. Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.

“Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah
mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Justeru berdasarkan penafian tegas Azmin, Presiden PKR sewajarnya mempertahankan timbalannya demi memelihara muafakat utuh parti.

Presiden PKR, kata mereka, wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011 walaupun ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen.

“Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan
gutter politics,” ujar mereka lagi.

Mereka juga menegaskan PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot
untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR.

“Kami akan bersama Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini,” kata mereka lagi.

Justeru, mereka menggesa Anwar berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang
memecahbelah kesatuan parti.

Ahli-ahli MPP PKR terbabit ialah Zuraida Kamaruddin (Naib Presiden) ; Tian Chua (Naib Presiden); Ali Biju (Naib Presiden); Haniza Talha (Ketua Wanita / Ahli MPP) dan Datuk Seri Dr Santhara (Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP).

Selain itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (Ahli MPP); Datuk Rashid Hasnon (Ahli MPP); Sivarasa Rasiah (Ahli MPP); Rahimah Majid (Ahli MPP); Elizabeth Wong (Ahli MPP) dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (Ahli MPP).

Zakaria Abdul Hamid (Ahli MPP); Mohd Radzlan Jalaludin (Ahli MPP)’ Datuk Dr Mansor Othman (Ahli MPP); Datuk Kamarudin Jaafar (Ahli MPP); Azmizam Zaman Huri (Ahli MPP); Gan Pei Nei (Ahli MPP); Hee Loy Sian (Ahli MPP); Lee Kai Loon (Ahli MPP); Baru Bian (Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak); Dr Daroyah (Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP) dan Muhammad Hilman Idham (Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP).

Sementara itu, ahli-ahli parlimen pula ialah Steven Choong (Tebrau); Jonathan Yasin (Ranau); Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling).- MalaysiaGazette