Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat kaunter imigresen pada sidang media sempena Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang Ke Negara Asal di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang ke Negara Asal bagi memberi peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menguruskannya mengikut syarat ditetapkan.

Kata beliau, kesalahan PATI di bawah Akta 155 itu meliputi Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Program ini mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos hingga 31 Disember ini.

“Bayaran kompaun sebanyak RM700 akan dikenakan bagi setiap warga asing yang menyertai program ini. Mereka hendaklah membawa dokumen perjalanan yang sah seperti pasport dan sijil perjalanan kecemasan serta tiket pulang ke negara asal dalam tempoh tujuh hari,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, program itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh JIM di seluruh negara tanpa penglibatan pihak ketiga.

Katanya, JIM telah menyediakan lebih 80 kaunter di Pejabat Imigresen seluruh negara bagi menjayakan program itu.

“JIM telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak Kedutaan Asing di Malaysia pada 12 Julai lalu dan satu taklimat mengenai program itu telah diadakan.

“Pihak Kedutaan Asing di Malaysia diharap memberi kerjasama sepenuhnya dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing yang menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen telah mengadakan sesi libat urus bersama polis pada 10 Julai lalu dan penyelarasan tindakan dibuat bagi memberi peluang kepada Pati yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah hadir ke JIM untuk program itu.

Muhyiddin menyeru semua warga asing mengambil kesempatan itu untuk balik ke negara asal atau berhadapan dengan tindakan undang-undang jika masih berdegil.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan secara agresif bagi memburu Pati dan mana-mana individu yang bersengkokol dengan mereka.

“Manakala majikan yang cuba melindungi pekerja Pati mereka yang tidak mempunyai dokumen akan dikenakan tindakan undang-undang seperti penjara, denda dan sebat,” katanya.

Ditanya berapa ramai jumlah PATI yang berada di negara ini, Muhyiddin memberitahu, beliau tidak mempunyai stastik tepat tetapi menganggarkannya terlalu ramai. – MalaysiaGazette