Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan tidak berminat dengan isu skandal seks songsang menjijikkan yang dikatakan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, sayap UMNO itu membuat rumusan kepada kemelut yang berlaku bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bila-bila masa boleh ‘menikam’ orang yang pernah setia kepadanya selama ini.

Jelas Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, apa yang dilakukan pemimpin utama PKR itu adalah semata-mata untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri kelapan (PM-8).

“Umum tahu bagaimana (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali setia kepada Anwar walaupun presidennya itu menghadapi pelbagai tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan liwat yang akhirnya dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali oleh mahkamah.

“Namun, kesetiaan itu dibalas dengan saranan agar beliau melepaskan jawatan. Tindakannya itu seolah hukuman telah pun dibicarakan dalam proses penghakiman,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Kata Noor Hariri, dari senario itu, amat bahaya kepada rakyat di negara ini sekiranya Anwar ditabalkan sebagai PM-8.

Ini kerana, Anwar hanya memikirkan dirinya sahaja sebagai perdana menteri, bukan lagi memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat.

“Malah, kalau orang nombor dua yang setia di belakangnya pun dikhianati dalam sekelip mata, apatah lagi nasib rakyat yang langsung tidak dipandang serius olehnya.

“Oleh itu, kita bertegas dan menyokong pernyataan Ketua Pemuda UMNO kita, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya mereka ini bersara dari politik kerana rakyat telah muak dihidangkan dengan pelbagai skandal tidak bermoral.

“Kepada Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad), anda bertanggungjawab untuk merombak kesemua jawatan menteri kabinet terkini dengan yang lebih ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jika Dr. Mahathir tidak mampu lagi, eloklah bubarkan sahaja Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan serahkan mandat kepada rakyat. – MalaysiaGazette