Timbalan Pendakwa Raya, Aaron Chelliah ketika hadir pada perbicaraan kes pelucutan hak harta Low Hock Peng yang juga bapa kepada ahli perniagaan yang dikehendaki dalam kes 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia menyita wang bernilai lebih RM48 juta milik bapa Low Taek Jho atau Jho Low.

Larry Low Hock Peng  tidak hadir pada prosiding hari ini walaupun sudah ada waran tangkap telah dikeluarkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan keputusan pengurusan kes penyitaan wang milik Hock Peng ini bertanya terlebih dahulu adakah pihak ketiga hadir untuk menuntut aset sitaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aaron Chelliah berkata, responden atau mana-mana pihak berkaitan dengannya hadir bagi menuntut aset berkenaan, selain daripada waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

Mohamed Zaini kemudian memerintahkan semua wang berjumlah RM48,979,500.67 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, pada 19 April lepas, mahkamah pernah memberikan notis tiga bulan kepada untuk mana-mana pihak ketiga yang berkaitan untuk menuntut aset-aset ini

Perkara itu diputuskan selepas Chelliah sebelum ini memfailkan notis usul bagi mendapatkan perintah untuk satu notis diwartakan dalam warta Kerajaan Persekutuan di bawah Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Chelliah berkata, sitaan tersebut setakat ini melibatkan dua buah akaun bank di KLCC Jalan Ampang dan di Pulau Pinang.

“Jumlah RM48,979,500.67 itu datangnya dari akaun bank RHB di cawangan KLCC dan Maybank di Pulau Pinang. 

“Penyitaan ini bukan termasuk yang lain-lain seperti rumah banglo milik keluarga Jho Low di Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum pemfailan notis itu dibuat, media turut melaporkan hartanah milik keluarga Jho Low di Pulau Pinang disita.

Larry Low

Hock Peng yang jarang menjadi perhatian media berbanding Jho Low itu mula dikenali umum apabila Polis DiRaja Malaysia mengemukakan notis merah kepada Interpol bagi mengesan kedua-dua mereka.

Dua beranak ini juga berdepan dengan sembilan pertuduhan berhubung pembabitan dalam skandal berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hock Peng yang memegang gelaran Tan Sri, merupakan ahli perniagaan terkenal Malaysia dan Singapura.

Beliau pernah mengasaskan syarikat ternama Frenchken Group Limited pada tahun 1995 yang mempunyai operasi di Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.

Kekayaan keluarga ini diwarisi oleh ayahnya Low Meng Tak yang dilahirkan pada 1922 di Guangdong, China yang kemudian terlibat dengan pelbagai perniagaan seperti perlombongan bijih besi dan penyulingan minuman keras di China dan Thailand. – MalaysiaGazette