Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan gimik penyerahan hasil pertanian pada Majlis Pelancaran Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di Pasar Tani Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Setiap pasar tani di negara akan menyumbang antara lima sehingga 10 peratus lebihan jualan mereka untuk program Food Bank Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan penjual sama ada penyerahan sumbangan itu akan dilakukan sebelum atau selepas operasi pasar tani.

“Saya saya bincang dengan Pengarah Fama dan dalam anggaran biasa setiap pasar tani akan mempunyai lebihan lima ke 10 peratus daripada barangan jualan mereka.

“Kita ada dua pilihan, kita akan bincang dan mereka tahu corak jualan mereka bagaimana dan mereka boleh agih pada waktu awal atau akhir.

“Lebih satu tapak pasar tani, anggaran 500 kilogram, itu dari dua pasar raya tetap dan ia tetap lumayan serta sumbangan itu akan sampai ke penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Food Bank Malaysia @Pasar Tani di sini hari ini.

Program itu akan dimulakan di pasar tani terpilih di mana Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menjadi projek perintis sebelum diluaskan ke seluruh negara.

Konsep program adalah menyelamatkan lebihan makanan yang masih boleh dimakan melalui pengumpulan daripada penyumbang iaitu pasaraya, pengilang, pengusaha makanan, hotel dan syarikat korporat.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kementeriannya akan mempunyai bajet sebanyak RM3 juta untuk program itu yang merangkumi peralatan sejuk beku. – MalaysiaGazette