Orang ramai kelihatan menunggu giliran bagi menadah air dari lori Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air berlanjutan semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Taman Tasik Permai, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Kerja – kerja pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan pada Selasa depan ditangguhkan.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd berkata, penangguhan itu disebabkan insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor yang menyebabkan tiga loji iaitu Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 yang terpaksa dihenti tugas semalam.

Menurutnya, antara jam 2 hingga 2.30 petang semalam, pihaknya telah mengesan pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 yang merekodkan bacaan 4 Ton dan menyebabkan ketiga-tiga loji ini terpaksa dihenti tugas.

Pemberhentian operasi itu mengakibatkan 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/ Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden ini.

Menurutnya, memandangkan insiden ini melibatkan hentitugas 3 loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

Kejadian itu telah memaklumkan insiden ini kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Unit Bencana Negeri.

“Pada jam 5 petang kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar dan telah kembali beroperasi, manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada pukul 7 petang dan dalam proses pengoperasian semula.

“Memandangkan kami dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran, insiden ini mungkin boleh berulang. Oleh yang demikian, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini.

“Ekoran insiden ini, perancangan bagi kerja – kerja pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan pada 23hb Julai 2019, Selasa minggu hadapan ditangguhkan,” ” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette