UTM

KUALA LUMPUR- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan kenaikan yuran perkhidmatan diputuskan berdasarkan kajian penanda aras antara universiti tempatan, kos pelaksanaan semasa serta peningkatan kos perkhidmatan kira-kira RM50 juta setahun.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM menjelaskan, kenaikan yuran perkhidmatan itu hanya berkuatkuasa kepada pelajar baharu yang bakal mendaftar pada Februari tahun depan (Semester 2, 2019/2020).

Pelajar lama atau pelajar yang telah mendaftar pada semester sebelumnya tidak terkesan dengan perubahan tersebut, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Untuk makluman, universiti tidak pernah menaikkan yuran aktiviti pelajar dan yuran klinik mahasiswa sejak lebih daripada 20 tahun lepas, iaitu dari tahun 1995. Yuran kemudahan sukan juga tidak pernah dikenakan kepada pelajar.

“Universiti sentiasa berusaha memastikan pelajar dapat mengikuti pengajian dan juga aktiviti di kampus dengan sebaiknya. Untuk tujuan itu, universiti akan meneruskan amalan perbelanjaan berhemah dan melaksanakan sebarang keputusan dengan memberi keutamaan kepada kebajikan serta keselesaan pelajar dan staf,” katanya lagi.

Beberapa hari lalu, tular sepucuk surat yang ditandatangani oleh Pemangku Bendahari, Jabatan Bendahari UTM, Abu Bakar Mohd. Salleh @ Ahmad memaklumkan kenaikan yuran perkhidmatan bagi universiti tersebut.

Ia menyaksikan peningkatan mendadak yuran perkhidmatan bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan kepada RM700 berbanding RM329 sebelum ini.

Manakala bagi ijazah dalam bidang lain-lain, yuran perkhidmatan bakal meningkat kepada RM685 berbanding RM314 sebelum ini.- MalaysiaGazette