KUALA LUMPUR – Malaysia Airports telah menyediakan tempat pengambilan penumpang khas untuk perkhidmatan e-hailing bermula 1 Ogos ini..

Bagi penumpang di Bangunan Utama KLIA, lokasinya terletak di Gate 3 dan 4, Tingkat 1.

Manakala bagi penumpang klia2, lokasinya terletak di Hab Pengangkutan, Tingkat 1, gateway@klia2 yang telah pun beroperasi sejak 1 Julai lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin, pengendali lapangan terbang itu juga berhasrat untuk menyediakan kawasan menunggu percuma kepada pemandu-pemandu e-hailing selepas ini supaya mereka lebih selesa semasa menanti pelanggan.

Jelasnya, inisiatif itu adalah sejajar dengan matlamat syarikat mahu memberikan keselesaan kepada pelanggan dan menawarkan pengalaman selesa kepada semua penumpang.

“Kita telah menyaksikan peningkatan drastik dalam penggunaan e-hailing di negara ini sejak ia mula diperkenalkan kepada pelanggan dan kami tidak boleh menafikan bagaimana teknologi dan aplikasi pintar menyumbang kepada perkembangan industri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Raja Azmi, tempat mengambil penumpang khas ini adalah penting dan tepat pada masanya.

Ini kerana Malaysia Airports mahu semua penumpang-penumpang mereka dapat berehat di atas kerusi yang selesa semasa menantikan perkhidmatan e-hailing selepas penat berada di dalam pesawat.

“Kami faham betapa penatnya seseorang itu apabila turun daripada pesawat. Jadi inisiatif ini amat sesuai untuk semua pelanggan-pelanggan kami,” katanya lagi.

Tempat mengambil penumpang itu pada asalnya adalah kawasan tidak boleh menunggu yang mana para pemandu yang dibenarkan berada di situ tidak melebihi lima minit.

Ini adalah bagi mengurangkan kesesakan yang mungkin akan menjejaskan perjalanan pemandu e-hailing untuk mengambil penumpang.

Pemandu e-hailing diwajibkan memasang pelekat khas bagi memudahkan identifikasi. Kereta-kereta yang tidak mempunyai pelekat tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

Para penumpang yang mahu ke lapangan terbang dengan menaiki perkhidmatan e-hailing boleh turun di pintu pelepasan biasa, katanya.

Tiada kawasan khas disediakan untuk perkhidmatan e-hailing di Tingkat 5 Bangunan Utama KLIA dan Tingkat 3, klia2.- MalaysiaGazette