KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dengan unjuran stabil oleh Fitch Ratings baru-baru ini membuktikan bahawa peningkatan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan kerajaan apabila nisbah keseluruhan hutang
dan liabiliti kerajaan telah berjaya dikurangkan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Nisbah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK telah dikurangkan sebanyak 3.9 mata kepada 75.4 peratus pada akhir 2018 berbanding 79.3 peratus pada akhir 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga yakin defisit fiskal akan berjaya dikurangkan daripada 3.7 peratus pada tahun 2018 kepada 3.4 peratus pada tahun 2019, sekali gus membantu meredakan kebimbangan yang wujud tentang tahap keberhutangan kerajaan.

Fitch mengunjurkan tahap hutang kerajaan berbanding KDNK akan beransur kurang dalam beberapa tahun yang akan datang kerana adanya pelan konsolidasi fiskal yang jelas.

Malah, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.6 peratus pada tahun ini.

“Fitch dalam laporan globalnya turut menekankan penurunan 13 peratus dalam jualan semikonduktor dunia untuk separuh pertama tahun 2019 berbanding tahun lepas serta pertumbuhan permintaan yang berkurang untuk barangan modal dan jualan kenderaan sebagai faktor-faktor yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan perdagangan dunia.

“Walau bagaimanapun, statistik untuk Malaysia masih lagi positif,” katanya.

Dalam tempoh Januari hingga Mei 2019, jumlah kenderaan yang dijual telah meningkat sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengeluaran perindustrian Malaysia juga sedang berkembang walaupun dunia berdepan dengan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Peralihan perniagaan serta lencongan perdagangan dan pelaburan telah menyumbang kepada peningkatan pelaburan langsung asing yang diluluskan sebanyak 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion pada suku pertama tahun 2019, berbanding hanya RM16.9 bilion pada tahun lepas.

Peningkatan suku pertama 2019 ini didorong oleh kenaikan pelaburan langsung asing ke dalam sektor pembuatan sebanyak 127 peratus kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Kadar pengangguran telah berkurang ke 3.3 peratus dalam bulan Mei daripada 3.4 peratus dalam bulan April, manakala sektor perbankan pula mempunyai modal yang mencukupi dengan akses kepada pasaran yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi sambil diawasi oleh Bank Negara Malaysia yang bebas dan berwibawa.

Perkembangan positif ini akan membawa kepada pertumbuhan KDNK yang mampan dalam suku kedua 2019.

Guan Eng berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan institusi, mengekalkan kestabilan politik, ketelusan dan akauntabiliti fiskal, mengurus pengurangan hutang dan liabiliti, tadbir urus baik serta pertumbuhan ekonomi mampan yang menjadi faktor-faktor positif dalam pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia. – MalaysiaGazette