dav

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini muncul dalam majlis kesyukuran di kediaman Menteri Besar Selangor selepas beliau tidak kelihatan dalam Majlis Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Port Dickson, Sabtu lalu.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengenakan baju Melayu cekak musang dan berkopiah putih tiba sambil dikerumuni penyokongnya di sini.

Ahli Parlimen Gombak itu turut kelihatan ceria ketika bersalaman dan disambut penyokongnya sebelum berlalu menuju ke dewan solat di Kediaman Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin dipercayai tidak hadir susulan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkannya bercuti jika terbukti terbabit dalam video lucah yang disebarkan baru-baru ini dan tidak perlu bercuti sekiranya video itu tidak sahih.

Mohamad Azmin turut memberi reaksi balas dengan meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri.

Sehingga jam 9.15 malam pada Sabtu, Mohamed Azmin tidak kelihatan hadir ke program berkenaan walaupun sepatutnya hadir pada jam 8.30 malam.

Selain Mohamed Azmin, sejumlah 20 ahli dan pemimpin PKR tidak menghadirkan diri dalam program itu yang berakhir hari ini.

Mereka adalah dua Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Ali Biju dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Ketidakhadiran mereka juga sekali gus menyaksikan kegagalan untuk menandatangani Resolusi Temu Rapat MPP yang menyokong kepimpinan Anwar selaku Presiden PKR. – MalaysiaGazette