Bekalan air
Sebahagian penduduk bekerjasama mengangkat air yang telah ditadah dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Pemulihan bekalan air di tujuh kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor mencapai tahap 86 peratus pada jam 6 pagi tadi.

Bagaimanapun tinjauan Malaysia Gazette hari ini di beberapa kawasan Ampang, Selangor mendapati masih terdapat beberapa kawasan yang terputus bekalan air bersih iaitu di Lembah Jaya dan Ampang Tasik.

Lebih mengejutkan apabila Kampung Lebah Jaya Ampang antara kawasan yang terputus bekalan air sejak enam hari lalu dan hanya tiga buah lori air sahaja memasuki kawasan yang berbukit-bukau itu sejak Selasa lalu.

Menurut salah seorang penduduknya, Yati Isman, 46, dia terpaksa berulang-alik di pinggir kampung itu untuk menadah air bersih di pili paip yang disediakan Syarikat Air Selangor sejak dua hari lalu.

“Sepanjang enam hari ini, hanya tiga kali saya dapat bekalan air daripada lori Air Selangor dan sampai hari ini tak masuk lagi bekalan ke sini.

“Lori air masuk sekali saja semalam, semalam pukul 10 pagi ada, hari itu ada sekali, hari ini tak ada sepanjang hari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sugumaran Kanaiah
Penduduk, Sugumaran Kanaiah, 65, ketika ditembual selepas menadah air dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Sementara itu, penduduk Taman Tasik Indah, Sugumaran Kanaiah, 65, pula berkata, dia sekeluarga terputus bekalan air sejak empat hari lalu hingga terpaksa mencari air hingga Kampung Lembah Jaya.

“Kawasan saya langsung lori tangki air tak masuk, sebab itu saya datang ke Lembah Jaya. Siang saya ambil sendiri naik motor, malam baru anak saya datang naik kereta.

“Kalau saya nak cuci baju, saya perlu ambil sehingga 20 botol guna mesin basuh. Sepatutnya lori tangki air dihantar di taman saya, saya warga emas tak oleh angkat berat,” katanya.

Mohd Yusri Suwar
Penduduk, Mohd Yusri Suwar, 50, ketika ditemubual semasa menadah air dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Menurut Mohd Yusri Suwar, 50, dia terpaksa bercuti daripada berniaga makanan di pasar malam apabila bekalan air terputus sejak enam hari lalu kerana perniagaannya memerlukan bekalan air yang banyak.

“Saya berniaga ayam goreng dan bebola ayam, dalam tempoh enam hari tiada air, baru sekali tak berniaga sebab tak ada air nak basuh ayam,” katanya.

MGF21072019_TINJAUAN BEKALAN AIR29
Penduduk, Mohd Arif Ahmad, 38, ketika ditemubual selepas menadah air dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Bagi Mohd Arif Ahmad, 38, dia dan iparnya yang mempunyai tiga orang bayi memerlukan enam tong air sehari hingga memaksa dia menggunakan lori tiga tan untuk mengangkut air hingga empat kali sehari.

“Rumah saya ada anak kecil, kalau pakai tong kecil memang cepat habis air ini, kalau 6 tong boleh tahan satu hari saja,untuk satu rumah yang ada 3 baby, ada baby fahamlah nak berak, cuci kena kerap.

“Semalam saja enam kali berulang-alik ke pili paip Air Selangor menggunakan lori ini. Saya pun ada bantu jiran berdekatan untuk ambil bekalan air,” katanya.

Katanya lagi, bekalan lori tangki terhad menyukarkan warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk berulang-alik ke pili paip Air Selangor di pinggir Kampung Lembah Jaya.

“Pili paip Air Selangor ini baru dua hari dipasang di sini, baru dua hari saya dan anak buah berulang-alik ke sini tadah air untuk keluarga dan jiran.

“Sepatutnya Air Selangor hantar juga air ke dalam kawasan kampung kerana tak semua orang kampung sihat dan berupaya ambil air jauh di sini,” katanya.

MGF21072019_TINJAUAN BEKALAN AIR27
Penduduk, Irfan Jamaluddin, 29, ketika ditemubual selepas menadah air dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Lembah Jaya, Irfan Jamaluddin, 29, berkata, dia terpaksa meminjam lori daripada majikannya untuk mengangkut bekalan air ke rumahnya kerana lori tangki air tidak masuk lagi di kawasan rumahnya, sejak tiga hari lalu.

“Nasib baik bos saya memahami dan benarkan saya guna lori syarikat untuk angkut air. Sudah dua hari saya gunakan lori ini untuk ambil air bagi kegunaan sendiri dan jiran terdekat.

“Tiada pilihan lain, sebelum ini bawa air guna kereta sendiri tapi tak sesuai untuk jumlah banyak dan boleh merosakkan kereta,” katanya.

Sementara itu, Khairul Nizam Mohd Jabidin, 38, pula berkata, sejak enam hari bekalan air terputus di Kampung Lembah Jaya, tidak pernah sekali pun dia melihat kelibat wakil rakyat, ahli majlis dan ketua kampung membantu penduduk kampung.

“Kami anak-anak muda yang bergilir-gilir berjaga malam membantu orang ramai mengagihkan air setiap hari, lebih-lebih lagi waktu malam hingga orang ramai terpaksa berbaris panjang untuk tadah air.

“Tidak pernah sekali pun pemimpin kawasan ini turun padang bantu agihkan air, apatah lagi lori tangki air tidak mencukupi di sini,” katanya.

Zamzamila Zambri
Penduduk, Zamzamila Zambri, 33, ketika ditemubual selepas menadah air dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Bagi seorang ibu, Zamzamila Zambri, 33, yang sarat mengandung bersama tiga anaknya terpaksa turun ke pinggir Kampung Lembah Jaya untuk mengambil bekalan air susulan lori tangki air yang tidak mencukupi di tempat tinggalnya.

“Saya terpaksa datang ke sini untuk dapatkan bekalan air tanpa perlu berebut atau berbaris panjang di waktu pagi.

“Saya perlu memandu bersama anak-anak saya kira-kira 10 minit dari Pangsapuri Sri Nilam di Bandar Baru Ampang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette