Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) mendengar sesuatu dari Pengarah Urusan Fintech Capital Group Berhad (kanan) ketika hadir pada Pelancaran Entrepreneur Digital Transformation (EDT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2019

GOMBAK- Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai diminta kembali ke sekolah untuk belajar semula peranan sesebuah kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, projek kereta terbang yang diusahakannya adalah untuk meningkatkan bidang inovasi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekiranya saya tidak melakukannya, saya kehilangan peluang untuk meningkatkan bidang inovasi di Malaysia yang akan memacu pertumbuhan negara.

“Saya juga akan kehilangan peluang untuk melatih rakyat dalam bidang inovasi.

“Orang lain dah lama “terbang”.

“Jika ini pun dia tidak faham, saya rasa Dominic perlu masuk sekolah semula untuk memahami apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan.

“Jika inilah sikap yang ada pada beliau, Malaysia tidak akan maju,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan program Transformasi Digital Usahawan di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Gerakan itu mencadangkan empat menteri digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat merombak Kabinet.

Empat menteri berkenaan ialah Redzuan, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dominic menyifatkan empat menteri berkenaan sebagai gagal dan sering mencetuskan kontroversi.

Malah beliau melabelkan Mohd. Redzuan sebagai ‘encik kereta terbang’.

Menurut Redzuan, beliau menyerahkan semua keputusan sama ada mengekalkan atau menggugurkan beliau daripada Kabinet kepada Perdana Menteri.

“Hanya kerana saya bercakap mengenai kereta terbang saya patut diturunkan pangkat atau digugurkan, itu terpulang kepada Perdana Menteri.

“Projek kereta terbang adalah mengenai inovasi dan disebabkan ini, negara kita telah mula membangunkan undang-undang dan peraturan mengenainya.

“Dalam masa yang sama, kita juga membuka ruang kepada sebuah inovasi baharu,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette