Charles Anthony Santiago

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mahu kerajaan negeri Selangor menamatkan kontraktor-kontraktor pasir sekiranya mereka didapati terlibat dengan insiden pencemaran Sungai Selangor yang mengakibatkan penutupan empat loji rawatan air (LRA) di negeri itu.

Pengerusinya, Charles Santiago turut berkata kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan perlu mempertimbang pemberhentian segala aktiviti ekonomi di sekitar kawasan sungai, terutama bahagian hulu sungai yang merupakan sumber air bagi aktiviti harian pengguna termasuk memasak dan sebagai air minuman.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat SPAN hari ini susulan dua insiden pencemaran yang berlaku di muka sauk empat LRA yang dilaporkan berlaku antara 19 Julai dan semalam.

“Dua insiden dalam tempoh tiga hari ini amat membimbangkan pihak SPAN,” katanya sambil menggesa polis menyiasat kedua-dua insiden pencemaran itu termasuk dari segi elemen sabotaj.

Santiago menegaskan SPAN akan menggunakan akta sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.Pada Jumaat lalu, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah berlaku pencemaran bau dan semalam, ketika proses pemulihan telah mencapai 97 peratus, keempat-empat LRA itu terpaksa dihenti tugas sekali lagi dilaporkan berikutan pencemaran diesel akibat aktiviti pengorekan pasir di hulu sungai.

Beliau menegaskan bahawa sungai merupakan sumber air mentah utama di negara ini dan oleh sebab itu amat wajar kebersihan serta kemaslahatan sungai dipelihara dan ini menjadi tanggungjawab setiap rakyat.

“SPAN juga memohon orang ramai untuk tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah terbuka. Walaupun air terawat/bersih di Malaysia dicaj dengan kadar yang rendah, namun ia adalah entiti terpenting kepada keperluan manusia dan industri.

“Maka ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kelangsungan sungai yang tidak tercemar agar bekalan air tidak terganggu,” kata Santiago.

Beliau menarik perhatian bahawa adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 121 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655) untuk mencemar atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air atau sistem bekalan itu dengan apa-apa bahan yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang. – BERNAMA