Temubual bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin di Oval Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 JULAI 2019.

PETALING JAYA – Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) perlu bertindak segera membersihkan nama peminjam yang telah membuat bayaran daripada senarai hitam bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah membeli rumah.

Langkah itu perlu kerana kebanyakan peminjam yang disenaraihitam terbelenggu masalah untuk memiliki rumah meskipun mereka ada membuat bayaran balik pinjaman mengikut kaedah tertentu, kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin.

Beliau berkata, langkah CCRIS yang lambat bertindak mengeluarkan nama peminjam daripada rekod senarai hitam menyebabkan berlaku lambakan kes-kes pembeli rumah tidak layak dan perkara itu dilihat tidak sihat.

“Kalau mereka nak beli rumah hari ini terutama orang muda dan mereka pula menghadapi masalah dengan PTPTN apa yang mereka buat ialah akan membayar jumlah amaun tertentu agar pinjaman mereka lepas.

“Sama juga macam mereka yang tidak lepas lepas untuk pergi keluar negara. Mereka ke kaunter (PTPTN) dan buat bayaran dan kemudian boleh pergi.

“Tetapi ia tidak seperti CCRIS dimana ia memakan masa hingga berbulan lamanya untuk mengeluarkan nama seseorang individu yang disenarai hitam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa peminjam PTPTN yang disenarai hitam dalam rekod CCRIS akan dikecualikan daripada sekatan untuk pembelian rumah pertama.

Sebelum itu, media melaporkan Zuraida dipetik sebagai berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan bulan lepas menerusi perbualan telefon dan keputusan itu dijangka diumumkan secara rasmi selepas pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober depan.

Mengulas lanjut, Radzi Tajuddin berkata, mereka yang menghadapi masalah sememangnya tidak akan bepeluang untuk mendapatkan sebarang pinjaman sama ada daripada agensi kewangan kerajaan mahupun swasta.

“Kalau boleh saya memberikan cadangan agar kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dapat memberikan perhatian terhadap perkara ini iaitu pembeli rumah pertama perlu dikeluarkan daripada senarai hitam CCRIS,” ujarnya.

Dengan mengambil contoh rekod daripada pangkalan data jabatan kerajaan seperti Imigresen yang boleh membersihkan penama yang disenarai hitam hanya kerana menghadapi situasi sama dengan PTPTN, CCRIS juga boleh melakukan perkara sama kerana ia bukanlah sukar untuk dilaksanakan, katanya. – MalaysiaGazette