Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi

KUALA LUMPUR – Mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukti Pakatan Harapan (PH) gagal membawa pembaharuan dalam pendidikan negara.

Timbalan Pengerusi II Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, ini merupakan tindakan ke belakang dan bertentangan dengan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan penggunaannya sebagai bahasa pengantar utama.

“Pengenalan semula dasar PPSMI sebenarnya menunjukkan kegagalan kerajaan PH memperkenalkan produk baru dalam bidang pendidikan.

“Hakikatnya pengenalan dasar ini adalah bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan yang menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Jelas beliau, kerajaan sepatutnya mencari langkah terbaik untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Sejak awal pengenalan PPSMI, Pas mengambil pendirian menolak dasar berkenaan, tetapi tidak bermaksud mengenepikan pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkenaan ialah bagaimana mewujudkan suasana minat belajar serta penggunaan kaedah yang sesuai bagi menerapkan kefahaman mendalam ke atas subjek matematik dan sains,” ujar Fakhruddin.

Antara langkah yang boleh digunakan selain mengembalikan semula penggunakan bahasa Inggeris untuk kedua-dua mata pelajaran itu adalah dengan penubuhan saketeriat penterjemahan bahasa atau perkataan sains dan matematik di peringkat nasional untuk melicinkan proses penterjemahan.

Kerajaan juga boleh mengukuhkan keilmuan bahasa ke atas guru-guru dalam masa yang sama mendedahkan mereka kepada teknik pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik secara holistik yang menarik dan tidak formal.

Justeru Pas kekal dengan pendirian sebelum ini untuk menolak dasar itu digunakan semula.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengkaji secara terperinci mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI.

Jelas Tun, kajian tersebut melibatkan penyediaan sistem baharu yang menggunakan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).-MalaysiaGazette