KUALA LUMPUR – Penularan gambar dan video murid tahun empat dan lima menghisap gula-gula, Ghost Candy dan vape baru-baru ini sangat membimbangkan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, tidak cukup bagi kerajaan hanya mengeluarkan kenyataan melarang, sedangkan boleh sahaja mengharamkannya.
“Setakat ini belum ada apa-apa arahan dari kerajaan mengharamkan pengambilan gula-gula berkenaan kepada pelajar, sedangkan pengambilan produk tersebut boleh membawa kepada tabiat serta ketagihan merokok pada usia muda.
“Saya menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan Ghost Candy kepada pelajar khususnya.
“Ini bagi menghalang anak muda membudayakan tabiat merokok, selain tidak mustahil boleh memudaratkan kesihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Di Putrajaya semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan mengikut Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar dan Penjual Borong) 1980 terhadap penjual dan pengedar yang menjual gula-gula Ghost Candy atau Smoke Candy yang mengeluarkan asap seperti menghisap rokok.
Perintah itu menetapkan denda mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan jika sabit kesalahan.
Shaharizukirnain turut mencadangkan larangan pengambilan vape di tempat awam dijalankan sebagaimana pengharaman rokok.
Ini kerana, menurut kajian oleh Pusat Racun Negara, vape mengandungi nikotin penyebab ketagihan, malah setiap 40mg nikotin boleh menyebabkan kematian.
“Larangan ini juga sebagai usaha mendidik masyarakat menghindari vape, sekali gus mampu membuang tabiat berani pelajar menghisapnya secara terbuka.
Justeru, beliau mendesak kerajaan segera mengharamkan penjualan Ghost Candy serta mengeluarkan akta kawal selia vape secepat mungkin. – MalaysiaGazette