Tommy Thomas Anwar Ibrahim PM
Tommy Thomas

SHAH ALAM – Peguam Negara Tommy Thomas hari ini menafikan telah mengeluarkan arahan untuk afidavit berkenaan punca kematian seorang anggota bomba. Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau dalam masa yang sama berkata sama sekali tidak campur tangan dalam afidavit berhubung punca kematian Adib yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah sebelum ini.

“Sebagai peguam negara saya adalah ketua perkhidmatan kepada 1,200 pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara termasuk Timbalan Pendakwa Raya yang mengendali kes jenayah dan Peguam Persekutuan yang mengendalikan kes sivil.

“Walaupun kesemua peguam undang-undang ini bertanggungjawab untuk lapor kepada saya, saya tidak mengarahkan atau memberi arahan kepada mereka dalam tugasan harian mereka.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah. Dalam perkara ini apa-apa afidavit yang diikrarkan dan difailkannya berhubung inkues Adib adalah di bawah di bawah bidang kerja beliau sepenuhnya dan saya tidak mengarahkan atau memberi apa-apa arahan berhubung pemfailan mahupun kandungam Afidavit tersebut,” katanya menerusi afidavit yang dilihat media di Mahkamah Koroner hari ini.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada dakwaan bahawa telah mengeluarkan rumusan bersifat pramatang pada Mahkamah Rayuan sebelum ini sehingga pihak Jawatankuasa  Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield bertindak menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan untuk menjadi pemerhati dalam inkues.

Dalam pada itu, Hamdan yang sebelum ini bertindak sebagai timbalan pendakwa raya menerusi afidavitnya berkata, kenyataannya sebelum ini bukan bersifat pramatang sebaliknya berdasarkan keterangan semasa saksi-saksi semasa inkues.

“Pernyataan saya bukannya satu kenyataan pramatang seperti yang didakwa pemohon (Ex parte). Penelitian menyeluruh afidavit saya akan menunjukkan pernyataan itu dibuat dalam konteks perenggan-perenggan sebelumnya yang kesemuanya merujuk kepada keterangan yang semuanya merujuk dalam inkues Adib,” katanya.

Untuk rekod, 15 April yang lalu Jawatankuasa Bertindak bagi Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield ini menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Pasukan petugas kuil itu turut menarik balik permohonan bagi penangguhan inkues sementara menunggu rayuannya itu selesai.

Keputusan itu dibuat berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara dan disahkan oleh Hamdan yang menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.-MalaysiaGazette