Sesi fotografi bersama ahli kumpulan Exists pada sidang media Konsert Exists Reunion di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kerinduan peminat untuk melihat kehebatan dua vokalis Exists, Mamat dan Ezad Lazim berentap di pentas bakal bakal terubat tidak lama lagi.

Ini kerana kumpulan yang ditubuhkan pada 1989 itu akan mengadakan Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini.

Konsert tersebut yang turut menampilkan ahli asal seperti Ajai, Ujang, Along, Musa dan Shah merupakan anjuran Shiraz Projects.

Pengarahnya, Shirazdeen Karim berkata, konsert itu amat bermakna kerana menggabungkan semua ahli Exists bagi mengubat kerinduan peminatnya.

“Merealisasikan Konsert Exists Reunion tanpa anggota yang lengkap akan membuatkan projek ini tidak menemui objektif sebenar.

“Namun setelah berbincang dan mencapai kata sepakat, konsert ini mampu menghidupkan nostalgia peminat yang pernah membesar dengan lagu-lagu Exist,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Konsert Exists Reunion di Hard Rock Cafe di sini hari ini.

Turut hadir semua anggota asal Exists.

Bekas pemain keyboardnya, Ajai atau Mohd Faizal Maas, 42, berkata perancangan menampilkan semua anggota kumpulan itu dalam Konsert Reunion Exists sudah direncanakan sejak tahun lalu.

“Sebelum ini, Exist pernah bergabung semula dalam persembahan, namun tidak semua lapan anggota terbabit sama.

“Namun apabila projek ini telah mendapat sokongan, kami berharap peminat Exists dapat hadir beramai-ramai sempena meraikan ulang tahun ke-28 Exists ditubuhkan,” katanya.

Exists mencipta magis hingga mengukuhkan nama di Indonesia, Brunei dan Singapura sejak 1991 selain pernah melakar sejarah sebagai pemuzik termuda yang menempa tempat di negara jiran.

Pernah merakamkan lapan album yang mencatat jualan platinum, antara lagu popular mereka termasuk Untukmu Ibu, Jesnita, Kerana Percayakan Siti, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mama Tolonglah Percaya.

Pada 2008, Exist menghasilkan album kompilasi, Keunggulan, menampilkan vokalis baharu, Joey Daud.

Pada awal penubuhan, Exist tampil bersama Mamat sebagai vokalis, sebelum tempatnya digantikan Ezad.

Selepas 10 tahun menyepi, pada 2016, kumpulan itu muncul semula menjayakan konsert Throwback Exist di Far East Square, Singapura menampilkan Ezad sebagai vokalis.

Sementara itu, Konsert Reunion Exists menawarkan tiket berharga RM700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.

Maklum lanjut boleh layari www.myticket.asia untuk tempahan tiket atau laman sosial Exists serta Shiraz Projects. – MalaysiaGazette