KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya dengan peratus keseluruhan pemulihan mencapai tahap 90 peratus pada jam 6 pagi ini.

Manakala wilayah yang masih dalam proses pemulihan adalah Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam yang diramalkan selesai pada Jumaat ini, jam 6 petang.

Kawasan Petaling dan Kuala Langat pula pada hari Sabtu, pukul 9 pagi.

Syarikat Bekalan Air Sdn. Bhd. (Syabas) berkata, pihaknya sedang berusaha mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan.

Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air kepada penduduk di kawasan yang masih belum pulih digerakkan secara berterusan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Hampir 1.2 juta penduduk mengalami gangguan bekalan air selepas operasi Loji Rawatan Air Fasa 1,2 dan 3 dihentikan akibat pencemaran diesel di Sungai Selangor pada minggu lalu. MalaysiaGazette