Jamal Abdillah dan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin.

KUALA LUMPUR – Pada usia 60 tahun, penyanyi Datuk Jamal Abdillah bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka dilahirkan isterinya pada awal November ini.

Jelasnya, buat masa ini, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang hamil enam bulan tidak mempunyai sebarang alahan atau mengidam.

“Syukur kandungan kali ini dipermudahkan, malah isteri pun tampak sihat, bertenaga dan tidak mengidam makanan pelik-pelik.

“Sekarang dia lebih banyak berada di rumah kerana saya sendiri mahu dirinya berehat, memandangkan sebelum ini isteri pernah tiga kali mengalami keguguran.

“Insya-Allah, ikutkan ujian imbasan, kami bakal menimang anak perempuan pada 4 November depan. Alhamdulillah,” katanya memetik BH Online.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali berkahwin dengan wanita berasal dari Perak itu pada pada 1 April 2017.

Terdahulu, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Ketiga-tiganya berakhir dengan perpisahan.

Bersama Noraina, penyanyi Kau Lupa Janji itu dikurniakan Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun, manakala dengan Fatimatuzarah pula dia dianugerahkan Ahmad Zaki Yamani, 12. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast