Neelofa. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Pengacara popular, Neelofa memohon maaf selepas dikecam teruk oleh netizen gara-gara tindakannya memuat naik sedutan filem The Lion King di laman sosial Instagram ketika menontonnya di pawagam.

Menurut usahawan berjaya itu, tindakan memuat naik sedutan filem antarabangsa menerusi ruangan Instagram Stories dilakukan tanpa sengaja kerana didorong oleh rasa teruja untuk menyokong naskhah berkenaan.

“Saya tidak sedar bahawa tindakan itu boleh mencetuskan masalah lain. Justeru, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesilapan yang saya lakukan.

“Saya juga berharap orang lain akan belajar daripada kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati pada masa depan,” kata pengacara program Meletop itu dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya.

Tindakan Neelofa itu menjadi bahan perdebatan dalam kalangan netizen sehingga ada yang menggesa pengurusan pawagam-pawagam di Malaysia meneliti tindakan artis berkenaan serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Berikutan itu, terdapat dua wakil pawagam yang memberi maklum balas tehadap reaksi netizen dengan berjanji akan mengadakan siasatan terhadap aduan yang dibuat mengenai Neelofa.

Peraturan pawagam di negara ini tidak membenarkan sebarang rakaman dibuat ketika tayangan berlangsung.

Peraturan berkenaan turut dipamerkan di semua pawagam selain kakitangan pawagam akan sentiasa melakukan rondaan bagi memastikan penonton tidak melakukan sebarang bentuk rakaman semasa menonton filem.

Sebelum ini, pada April 2018, penyanyi Ara Johari pernah berhadapan dengan isu serupa kerana memuat naik sedutan filem Avengers: Infinity War di ruangan Instagram Stories. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast