Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – UMNO akan melancarkan sebuah tabung kutipan dana bagi menampung kos pengurusan parti serta segala perancangan untuk aktiviti politik, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah beliau berkata, pelancaran tabung itu juga adalah sebagai satu daripada persiapan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Zahid, UMNO kini berdepan dengan kekangan kewangan yang sangat kritikal susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti sejak setahun yang lalu.

“Sebagaimana yang diketahui kekangan kita pada masa ini adalah dari segi pembiayaan selepas pembekuan penidaan dan juga beberapa tindakan perundangan yang tidak adil dilakukan terhadap UMNO dengan tuduhan-tuduhan di luar norma perundangan.

“Oleh yang demikian kami merasakan Tabung Dana UMNO ini harus dilancarkan bukan hanya daripada ahli-ahli dan kepimpinan UMNO tetapi (kutipan) daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC di sini hari ini.

Menurut Zahid, beliau yakin ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersimpati dengan UMNO dan mereka berhasrat membiayai parti ini.

Katanya, sebuah badan profesioanl turut dilantik oleh UMNO untuk menguruskan dana berkenaan.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas SPRM membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO, dipercayai bersangkutan penyelewengan dana 1MDB.

Pada 30 Jun lalu, Ahmad Zahid dilaporkan mengarahkan para peguam yang mewakili UMNO untuk memfailkan rayuan kepada SPRM agar menyahbekukan sebahagian akaun parti itu.

Ia bagi membolehkan UMNO menampung perbelanjaan seperti urusan pembayaran gaji staf, penyewaan bangunan dan kos urusan pentadbiran yang lain. – MalaysiaGazette