Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diiringi Pengarah Urusan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Pierre Olivier Deplanck (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasar Raya Besar Giant USJ, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JULAI 2019

SUBANG JAYA – Pengguna dinasihatkan agar lebih bijak mendapatkan informasi mengenai kandungan gula dalam minuman terutamanya minuman bubble tea yang mengandungi gula berlebihan.

Demikian nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengenai fenomena kegilaan masyarakat terhadap bubble tea.

Menurutnya, minuman seperti itu mengandungi kandungan gula hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan pengambilan lapan sudu teh dalam sehari.

“Bukan sahaja bubble tea, termasuk semua bahan dan produk melebihi gula, saya sedar bubble tea minuman yang agak popular, ada gula melampaui paras iaitu 150ml mengandungi sehingga 20 sudu teh gula.

“Cadangan pengambilan gula yang dibenarkan adalah lapan sudu teh untuk pengambilan sehari, itu hasil pembacaan saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen “Kurangkan Gula Hidup Sihat” di Hypermarket Giant di Subang Jaya hari ini.

Justeru itu, Dzulkefly menasihatkan agar pengguna mendidik keluarga masing-masing agar tidak terdedah dengan produk sedemikian.

“Paling baik dan berkesn pengguna ambil tanggungjawab tidak dedahkan keluarga dengan beli produk makanan seperti ini, kami mahu pengguna ambil pencerahan dan tanggungjawab untuk tidak dedahkan anak-anak atas apa jua makanan seperti ini, termasuk bubble tea,” katanya.

Kenyataan itu berikutan satu kajian daripada Hospital Mount Alvernia, Singapura yang mendapati ada sebilangan perisa minuman popular bubble tea atau juga dikenali sebagai boba mungkin mengandungi kalori sama seperti yang terkandung dalam satu setengah mangkuk nasi.

Antara perisa minuman bubble tea itu adalah teh susu dengan gula perang yang mempunyai 500 kalori bagi setiap minuman setengah liter.

Menurut laporan itu, jumlah kalori itu lebih kurang sama dengan memakan semangkuk setengah nasi putih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast