Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menerima laporan dari Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Al-Ishak (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Laporan Petugas Khas 5G Negara di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyberjaya. foto IQBAL BASRI, 29 JULAI 2019

CYBERJAYA – Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan teknologi Generasi Kelima (5G) dijangka boleh dilaksanakan di negara ini selewat-lewat pada pertengahan tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya mahu pengenalan perkhidmatan internet tanpa wayar itu mengikut perancangan kerajaan.

“Kalau ikut apa yang kita telah pun rancang sejak awal, kita menyasarkan pelaksanaan 5G pada suku pertama tahun depan.

“Tapi kita akan fokus kepada tempat-tempat tertentu kerana 5G ini keperluannya lebih tinggi untuk sektor tertentu yang kita akan lihat dahulu.

“Kalau tidak separuh tahun depan, itu adalah rancangan kita kita harap kita berjaya, kita memang fokus kepada industri dahulu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Terdahulu, Gobind menghadiri majlis pembentangan laporan separuh penggal Jawatankuasa Bertindak 5G Negara di MCMC di sini.

Dalam pada itu, Gobind berkata, buat permulaan perkhidmatan 5G akan dilaksanakan di lima negeri sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

“Kita memberi fokus kepada lima negeri yang disebut tadi sebagai permulaan di mana kita bermula di Putrajaya, Cyberjaya dan sekarang dikembangkan kelima-lima negeri itu.

“Ini tidak bermakna kita akan berhenti di situ, ini bermakna dari dua tempat yang kita fokus dulu kita kembangkan lima negeri dan selepas itu kita akan luaskan mengikut keadaan dan tuntutan daripada industri dan negeri lain,” katanya.

Sementera itu, menyentuh laporan jawatankuasa itu, Gobind memberi jaminan ia akan disiapkan selewat-lewatnya Oktober tahun ini.

“Saya telah pun memberikan tempoh enam bulan sebenarnya sejak April lalu, kalau ikut tempoh itu memang pada Ogos (siap) mungkin diminta seminggu atau dua untuk sediakan laporan spesifik untuk saya.

“Kita harap sebelum akhir tahun ini kita dapat laporan yang lengkap, saya boleh kaji sebelum saya bawa perkara ini kepada perhatian kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette