Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali hari ini mempersoalkan kenapa beliau perlu dijadikan sasaran hanya kerana tidak hadir ke mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan yang berlangsung di ibu pejabat parti itu, semalam.

Katanya, adalah lumrah bagi seseorang pemimpin yang tidak dapat hadir ke mesyuarat-mesyuarat parti.

“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum.

“Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini apabila diajukan soalan berkenaan oleh pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika mengulas ketidakhadirannya ke mesyuarat MPP PKR semalam.

Kepemimpinan PKR semalam diberi peringatan untuk hadir pada semua mesyuarat parti mengikut jadual yang diedarkan dua hingga tiga bulan lebih awal.

Pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu disampaikan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berulang kali, termasuk pada mesyuarat MPP yang berlangsung semalam.

Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.

Pemimpin PKR lain yang tidak hadir semalam, termasuk naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, ketua Wanita Haniza Talha dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Semua mereka dilihat sebagai penyokong kem Azmin.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata, beliau tidak hadir mesyuarat MPP kerana mempunyai tugas sebagai anggota kerajaan

“(Tak datang mesyuarat) sebab ada tugas.

“Kita sebagai pemimpin parti kerajaan, kita ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti.

“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Jadi, ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita dilaksanakan, itu juga tanggungjawab kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast