Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tidak teragak-agak menyaman seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak kerana didakwa memuat naik poster fitnah yang mengaitkan dirinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, buat masa ini beliau menunggu makluman daripada peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Mereka tak serik-serik. Saya kira ini adalah agenda terancang oleh pihak-pihak tertentu. Bila tiada orang kutuk Islam mereka sendiri yang kutuk Islam.

“Lepas itu mereka sendiri yang buat perhimpunan. Dia sendiri yang marah kepada menteri, dia sendiri yang maki hamun kerajaan lepas tu dapat tahu benda itu tak betul.

“Bayangkan, orang yang macam ADUN ini muat naik kenyataan yang tiada langsung standard kerana pembohongan dan dia komen pula lagi tentang saya sebagaimana yang dibaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Halfest JAKIM 2019 di Kompleks Islam di sini hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ekoran satu hantaran di Facebook berkaitan kes menghina Nabi Muhammad SAW oleh seorang pemegang akaun media sosial berkenaan dan menggunakan gambar dengan dakwaan kenyataan Mujahid.

Laman Facebook itu yang menggunakan nama MyNewsHub dengan memuatnaik sebuah banner berkaitan isu Wendy Loong.

Dalam perkembangan sama Mujahid menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.

Katanya, perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan keresahan terhadap umat Islam di negara ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang itu dan meletakkan kenyataan di dalam poster telah meletakkan keresahan.

“Ada yang mengecam dengan berkata dalam nada permusuhan. Saya mengambil itu sebagai tanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang menaikkan poster itu dan kita telah kenal pasti siapa dia,” ujarnya.

Dalam pada itu Mujahid bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Pengerusi Majlis Agama Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Hussien Abd Khadir dan Pengerusi Sekretariat Halfest JAKIM, Datuk Zainal Abidin Jaffar. – MalaysiaGazette