SUBANG 29 JULAI – Syarikat hartanah Titijaya Land Bhd melancarkan Seiring Residensi, iaitu fasa pertama projek bandar baharu Damaisuria, yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM677 juta.
Damaisuria merupakan projek pembangunan hartanah baharu bersepadu oleh Titijaya, yang dibangunkan dalam empat fasa yang memiliki nilai GDV keseluruhan sebanyak RM1.59 bilion.
Manakala Menara A Seiring Residensi dijangka memiliki GDV sebanyak RM168 juta.
Pengarah Eksekutif Titijaya Land Berhad, Charmaine Lim Puay Fung berkata, Seiring Residensi melibatkan pembinaan apartmen servis yang direka khusus untuk memenuhi gaya hidup mewah dan elegan.
Ia terdiri daripada empat buah menara.
Seiring Residensi menawarkan pilihan unit kediaman bersaiz daripada 668 kaki persegi kepada 972 kaki persegi, dengan dilengkapi empat buah bilik.
Menara pertama Seiring Residensi (Tower A) telah dilancarkan hari ini, terdiri daripada 370 unit dengan menampilkan susun atur moden dan praktikal, ruangan tersebut direka bentuk untuk memenuhi gaya hidup penghuni bandar Subang,” katanya di sini hari ini.
Terletak di sempadan Kota Damansara dan Subang, Damaisuria merupakan pembangunan bebas milik yang menawarkan kehidupan berkeluarga yang eksklusif dan mampu milik.
Lokasinya di tengah-tengah kawasan hijau yang subur dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
Ia mudah diakses melalui NKVE, GCE dan North-South Central Link, sementara cadangan DASH (Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam) akan membentuk pautan langsung dengan Kota Damansara hanya dengan jarak 5.2 kilometer sahaja.
Puay Fung menambah, menerusi kemudahan pendidikan, perkhidmatan, peruncitan dan hiburan yang terletak berhampiran projek berkenaan, pembangunan tersebut dipastikan dapat memenuhi keperluan gaya hidup terbaik buat generasi masa depan. – MalaysiaGazette