Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang termasuk mengganggu pihak berkuasa menjalankan tugas, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua warga asing di negara ini supaya sentiasa berkelakuan baik dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa semua warga asing yang datang ke negara ini mesti berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi undang-undang negara.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara ini atau cuba mengganggu anggota penguatkuasaan yang sedang menjalankan tugas.

“Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, mereka seharusnya
membuat laporan menggunakan saluran yang betul dan tidak sesekali mengambil tindakan sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau mengulas insiden kira-kira 50 orang Afrika baru-baru ini yang menyerang empat anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengeluarkan arahan agar siasatan segera dibuat terhadap kejadian tersebut.

Beliau yang mengecam tindakan itu mahu kesemua yang didapati bersalah dikenakan tindakan setimpal.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini. Saya telah mengarahkan agar siasatan
penuh dilakukan terhadap warga asing yang terlibat dan tindakan sewajarnya diambil dengan segera di bawah peruntukan undang-undang,”tambahnya.

Menurut beliau setakat ini 17 lelaki warganegara Nibgeri dan seorang lelaki Uganda ditahan untuk saisatan pihak berkuasa.

Untuk rekod, dalam kes serangan pada 25 Julai lalu kira-kira 10.50 malam, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota pada mulanya mengetuk pintu kediaman seorang suspek warga Nigeria yang disyaki terbabit kes tipu.

Beberapa lelaki Afrika itu kemudian menarik keluar anggota polis sebelum mereka diserang dan dipukul.

Pada masa yang sama, lima suspek yang berada dalam rumah yang tidak sempat ditahan itu berjaya meloloskan diri keluar ketika kekecohan berlaku.

Ekoran itu difahamkan, tiga anggota JSJK terbabit cedera ringan dan seorang lagi yang mengalami kecederaan di muka dan kepala dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.-MalaysiaGazette