Abdullah Sani Abdul Hamid PKR Anwar Ibrahim President
Abdullah Sani Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Semenjak berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR tahun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah lapan kali gagal menghadirkan diri pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli MPP, Abdullah Sani Abd Hamid yang juga Ahli Parlimen Kapar.

Jelasnya, mengikut perlembagaan parti sesiapa sahaja anggota yang gagal hadir tiga kali berturut-turut tanpa memberi penjelasan awal, jawatan boleh dilucutkan.

“Semenjak dia menang jadi timbalan presiden, lapan kali sudah. Kita bermesyuarat sebulan kali. Kalau Lembaga Disiplin ambil tindakan sesiapa yang tidak hadir boleh tergugur dari MPP, bermakna dari jawatan terkini.

“Kalau tidak mampu datang dan tidak mahu datang boleh dikategorikan tidak berminat kalau tidak berminat faham,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan semasa di mana Azmin dilaporkan tidak hadir Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baru-baru ini.

Tambah Abdullah Sani, meskipun memegang jawatan tinggi dalam parti namun ia tidak akan menjadikannya kebal dan bebas melanggar perlembagaan.

Mana-mana pemimpin sekalipun, ujarnya, perlu sedar bahawa parti yang menyumbang kepada kedudukan yang diraih hari ini.

“Perlembagaan amat penting, disiplin amat penting, ia dibuat untuk dipatuhi. Kena ingat parti ini yang beri kita kedudukan, jadikan kita wakil rakyat. Kalau tidak menghormatinya kena tanya diri sendirilah,

“Masa belum pilihan raya, belum menang pemilihan kita berminat pula,” selorohnya.

Baru-baru ini Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan satu peringatan telah diberikan parti kepada mana-mana pemimpin yang cukai untuk menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mahupun mesyuarat Biro Politik parti.

Ujar beliau, jadual bagi kedua-dua mesyuarat telah diberikan lebih awal dan tiada alasan untuk tidak hadir tanpa memberi alasan kukuh kepada Setiausaha Agung.

Selain Azmin antara lain yang gagal hadir dalam mesyuarat itu adalah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amiruddin Shaari.-MalaysiaGazette