Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di dalam lif sebuah flat di Loke Yew, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 20 tahun menggunakan lif untuk ke tingkat bawah kediamannya pada 10.15 malam.

“Sebaik tiba di tingkat satu, suspek berusia 36 tahun masuk ke dalam lif berkenaan dan memeluk mangsa. Berlaku pergelutan dan mangsa berjaya meloloskan diri.

“Wanita itu kemudian memberitahu perkara itu kepada seorang lelaki yang berada di kawasan berkenaan sebelum suspek ditangkap dan dibelasah orang ramai di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Lelaki terbabit direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya. – MalaysiaGazette