Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Sokongan yang dizahirkan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerajui pentadbiran negara sehingga akhir penggal mestilah jujur dan berpaksikan kepada gagasan memerangi rasuah dan kleptokrat.

Ini kerana, gagasan yang dibawa oleh perdana menteri itu menyebabkan gabungan kerajaan pada masa ini berjaya menumbangkan pentadbiran kerajaan terdahulu yang telah melakukan salah guna kuasa dan rasuah di dalam skala paling besar sejak merdeka dan di peringkat dunia.

Gagasan itu juga merupakan komitmen untuk melakukan perubahan dari sudut rasuah dan urus tadbir negara.

Bagaimanapun, Mohamad Ezam Mohd Noor berkata, jika sokongan kepada perdana menteri tanpa asas kepada gagasan ini, maka ia tidak akan membawa sebarang makna positif dalam melakukan perubahan yang mesti dilakukan.

“Lebih tidak bermakna malah negatif sifatnya sekiranya sokongan dilakukan oleh pemimpin yang terdesak yang diselubungi dakwaan serius yang belum dibereskan dan menggunakan pernyataan sokongan atas sebab-sebab percaturan politik peribadinya dan sama sekali tidak berasaskan kepada gagasan besar perjuangan negara yang diketuai PM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Meskipun kenyataan itu tidak mengaitkan dengan individu-individu tertentu tetapi kenyataan Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1996 hingga 1998 dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Azmin membuat kenyataan kontroversi apabila menyambut baik pendirian UMNO dan Pas untuk memberi dukungan penuh kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.

Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan pendirian UMNO dan Pas itu seiring dengan pendiriannya dalam usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

“Kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” kata Azmin.

Mohamad Ezam menegaskan, pentadbiran baharu ini mempunyai tanggungjawab dan cabaran yang luar biasa, maka para pemimpin mesti menghayati hakikat ini dan serius serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab besar.

Oleh itu, beliau meminta percaturan politik peribadi dihentikan dan meletakan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

“Masalah peribadi jangan dibawa jadi masalah negara. Buat kesekian kalinya, buatlah sesuatu demi negara. Bukan demi diri sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast