Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia bagi tahun 2018 bertumbuh pada 6.2 peratus berbanding 7.1 peratus pada tahun 2017.

Prestasi ini mengatasi KDNK Malaysia dan bukan PKS yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus dan 3.8 peratus.

Sumbangan KDNK PKS kepada KDNK Malaysia meningkat kepada 38.3 peratus daripada 37.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai ditambah bagi PKS pada harga malar 2015 adalah RM521.7 bilion berbanding RM491.2 bilion pada tahun 2017.

Daripada segi nominal, KDNK PKS merekodkan RM551.7 bilion pada tahun 2018 (2017: RM519.1 bilion).

Katanya, nilai ditambah PKS bagi sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 8.1 peratus berbanding 7.2 peratus pada tahun 2017 .

Momentum pertumbuhan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang bertumbuh kepada 8.6 peratus (2017: 7.5%).

Pertumbuhan subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan meningkat pada 7.6 peratus (2017: 7.4%).

Sementara itu, subsektor pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi yang berkembang kepada 6.9 peratus (2017: 6.8%) juga telah menyokong momentum pertumbuhan tersebut.

Bagi sektor pembuatan, nilai ditambah PKS meningkat kepada 5.5 peratus (2017: 6.8%) yang diterajui oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik dengan pertumbuhan 5.8 peratus (2017: 4.4%).

Selain itu, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka berkembang kepada 6.9 peratus daripada 6.1 peratus pada tahun sebelumnya, manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau bertumbuh sederhana kepada 3.6 peratus (2017: 11.0%).

Nilai ditambah PKS bagi sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan marginal 0.3 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh prestasi yang perlahan bagi subsektor getah, kelapa sawit, ternakan & pertanian lain yang bertumbuh pada 0.5 peratus (2017: 9.0%).

PKS bagi sektor pembinaan dan perlombongan & pengkuarian masing-masing bertumbuh perlahan kepada 4.0 peratus dan 4.3 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast