KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) mendesak Kerajaan Negeri Selangor mengembalikan semula empat skim bantuan Selangor kepada penerima yang sebelum ini menikmatinya sejak ia diperkenalkan.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, tindakan pemotongan jumlah itu amat mengejutkan kerana ia membabitkan 50 peratus penerima skim bantuan khususnya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

“Tuntut menzahirkan rasa kecewa selepas rakyat menyedari mereka tidak lagi tersenarai sebagai penerima skim bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor seperti sebelum ini.

“Sebelum ini, bantuan KISS berjumlah RM200 sebulan diberikan Kerajaan Selangor kepada lebih 40,000 orang, tetapi penerima bantuan ini berkurangan kepada 20,000 orang pada 2019.

“Kami menuntut Menteri Besar Amirudin Shari untuk mengembalikan semula hak yang sebelum ini layak dan seharusnya diterima oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain KISS katanya, bantuan Skim Peduli Sihat bernilai RM500 juga dikurangkan jumlah penerima daripada 392,000 keluarga dan kini dihadkan kepada 65,000 penerima.

Menurutnya, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu bantuan khairat kematian berjumlah RM2,500 tidak lagi dinikmati rakyat Selangor kerana digantikan dengan baucer beli-belah bernilai RM100 setahun kepada warga emas.

Lebih mengecewakan katanya apabila peruntukan air percuma bernilai RM80 juta bagi 2019 sudah habis digunakan Kerajaan Negeri Selangor sedangkan masih di pertengahan tahun.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan Selangor mempunyai tunggakan bayaran air percuma sebanyak RM40 juta bagi tahun 2018 yang masih belum diselesaikan.

“Bagi peruntukan air percuma ini sebanyak RM80 juta bagi 2019 juga telah habis digunakan walhal kita masih berada di pertengahan 2019,” katanya.

Dalam pada itu, ketika jumlah penerima skim bantuan dikurangkan, Kerajaan Negeri Selangor pula mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM123 juta dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika ini.

“Lebih mengejutkan dan menimbulkan persoalan apabila sidang DUN Selangor membahaskan enakmen perbekalan tambahan itu sedangkan dalam belanjawan negeri 2019 telah diluluskan sebanyak RM2.56 billion tahun lalu.

“Untuk tujuan apa Kerajaan Selangor perlukan peruntukan tambahan ini?” katanya.

Katanya lagi, perkara itu turut dipersoal dan dibahaskan sendiri oleh Ketua Pembangkang Selangor selaku ADUN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dalam sidang DUN Selangor, Isnin lalu.

“ADUN Sungai Air Tawar itu mempertikaikan peruntukan tambahan itu kerana ia tidak dilihat untuk digunakan bagi tujuan menampung kelangsungan terhadap skim bantuan untuk rakyat Selangor.

“Oleh itu Menteri Besar telah membuktikan bahawa beliau gagal membawa arus kemajuan hasil negeri Selangor untuk rakyat.

“Ia sekali gus turut mengheret rakyat Selangor untuk rasakan keperitan dan kesusahan yang tidak berkesudahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast