Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR- Ahli-ahli lembaga pengarah FGV Holdings Bhd. (FGV) tetap meneruskan tugas seperti biasa walaupun tiada bayaran selepas tiga pemegang saham utamanya menolak usul berhubung bayaran dan manfaat kepada lembaga pengarah dalam mesyuarat agung tahunan baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat peladangan sawit terbesar negara itu tetap komited untuk memulihkan syarikat berkenaan.

“Ini merupakan urusan lembaga pengarah dan pemegang saham.

“Saya pasti mereka akan mengeluarkan kenyataan apabila isu ini selesai nanti tetapi buat masa ini, ahli-ahli lembaga pengarah tetap komited untuk meneruskan usaha memulihkan syarikat yang telah pun bermula.

“Apa yang saya ketahui, banyak perbincangan aktif yang telah dijalankan.

“Mood lembaga pengarah masih OK dan mereka bekerja seperti biasa,” katanya semasa sidang media selepas pemeteraian memorandum persefahaman di antara FGV Palm Industries, Sime Darby Energy Solutions dan Biotek Dinamik di sini hari ini.

Pada 25 Jun lalu, tiga pemegang saham utama FGV iaitu Felda, Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF) dan Lembaga Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) menolak tiga resolusi membabitkan pembayaran fi kepada ahli-ahli lembaga pengarah dalam AGM syarikat tersebut.

Felda memiliki 33.7 peratus pegangan dalam FGV diikuti KPF (lima peratus) dan LTAT (1.25 peratus).

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, para pemegang saham mengambil keputusan menolak resolusi berkenaan ekoran prestasi buruk FGV pada tahun lepas apabila menanggung kerugian sebanyak RM1.08 bilion.

Dalam perkembangan lain, Haris Fadzilah sekali lagi menjelaskan, syarikat tersebut sedang meneroka semua peluang bagi perniagaan gulanya bagaimanapun tidak berhasrat untuk melepaskan pegangan saham utama.

“Berdasarkan perkembangan semasa termasuklah harga gula di pasaran dunia dan liberalisasi, kami meneroka semua peluang dan menilai semua cadangan yang dikemukakan,” katanya lagi.

FGV memiliki 51 peratus kepentingan dalam syarikat gula, MSM Holdings Bhd.-MalaysiaGazette