Abdul Razak Ismail

KUALA LUMPUR – Otai Reformis 1998 tidak menolak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya dengan sokongan beberapa Ahli Parlimen dari kemnya, disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), disokong oleh Barisan Nasional dan Pas.

Namun, teori itu agak mustahil kerana yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan merestui usaha-usaha demikian tetapi dalam senario politik semasa, tiada yang mustahil.

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, pada masa sekarang kedudukan kerusi Parlimen adalah PKR (50), DAP (42), Bersatu (26), Parti Amanah Negara (11), Warisan (9), UPKO (1), UMNO (37), MIC (1), MCA(1), BN Ahli Terus (1) dan Pas (18) serta Gabungan Parti Sarawak (19).

Katakanlah akhirnya Azmin meninggalkan PKR bersama 15 orang Ahli Parlimen yang setia bersamanya dan berandaian kesemua Ahli Parlimen PPBM (Bersatu) dengan 26 Ahli Parlimen turut serta dan ini secara kiraan kasarnya memberikan Azmin sebanyak 15 + 26 = 41 kerusi.

Manakala UMNO/BN mempunyai 40 kerusi, dan Pas mempunyai 18 kerusi dan sekiranya kerjasama dan persepakatan ini berlaku juga maka jumlahnya adalah 41 + 40 + 18 = 99 kerusi di parlimen.

Katanya, kedudukan ini tidak membolehkan persepakatan ini untuk memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan kerana jumlah 112 kerusi diperlukan untuk menerajui Putrajaya.

Sekiranya Gabungan Parti-parti Sarawak yang berjumlah 19 kerusi turut memberi sokongan kepada Azmin, maka jumlah keseluruhan menjadi 19 + 99 = 118 kerusi dan maka dengan jumlah ini membolehkan penubuhan kerajaan baharu di Putrajaya.

Abdul Razak akui agak sukar untuk menerima teori ini tetapi tiada mustahil ianya berlaku dalam senario politik terkini.

“Walaupun kita yakin Azmin mampu menarik 15 orang ahli Parlimen yang setia kepadanya untuk keluar dari Pakatan Harapan atau berkemungkinan menubuhkan parti baru serta menyertai persepakatan bersama UMNO dan Pas, tetapi majoriti penyokong- penyokong tegarnya agak sukar menerima persepakatan begini.

“Ianya juga agak sukar untuk Bersatu turut serta dalam satu blok pakatan sebegini. Ketidak patuhan sebahagian 15 Ahli Parlimen PKR dan Bersatu yang setia kepada Azmin untuk keluar dari PH akan menyukarkan perancangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, dalam percaturan politik jumlah kerusi yang mampu dikumpul adalah faktor penting dalam satu skim pengambilan alihan tampuk pemerintahan, tetapi jumlah tersebut tidak mampu diperolehi dan tidak menjadi sesuatu yang nyata.

“Dan saya rasa Dr. Mahathir yang begitu pakar dalam sepak teranjang politik tidaklah begitu naif untuk merestui perancangan ini yang bakal menggadaikan karier politik beliau hanya sekadar untuk menyelamat kerjaya politik Azmin Ali,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.