Tan Sri Shahrir Abdul Samad. UMNO President Prime Minister
Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Meskipun sudah 14 bulan memerintah, pentadbiran Kerajaan Pakatan masih tidak mampu melakukan strategi untuk mengembangkan ekonomi negara walaupun jawatan menteri dikuasai oleh orang-orang politik.

Disebabkan kerajaan yang masih terkial-kial, rakyatlah yang terpaksa menanggung beban ekonomi yang tidak berkembang.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, tidak kisahlah kalau dasar ekonomi negara hendak ditukar kepada ‘shared prosperity’ atau kemewahan dikongsi ataupun beralih kepada ‘needs based policies’ (polisis berasaskan keperluan) tanpa melaksanakan lagi tindakan afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru tetapi ekonomi mesti dikembangkan terlebih dahulu.

“Kalau ekonomi negara tidak berkembang, tak de kemewahan tambahan yg boleh dikongsi bersama. Sama juga dengan dasar yang menegaskan kepada “needs” atau keperluan, ekonomi negara mestilah dikembangkan.

“Pendek kata, kalau ekonomi negara bertumbuh dengan baik, apa sahaja dasar dan strategi boleh dirangka ikut selera masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Veteran UMNO itu mengambil contoh tentang laporan ekonomi Hong Kong, yang mana perniagaan di bandar raya itu telah menguncup berbanding tahun 2018.

Pada Jun 2019 berbanding Jun 2018, perniagaan Hong Kong menguncup 30 peratus dan pada bulan Julai 2019, dijangka susut sebanyak 40 peratus.

Katanya, penyusutan itu bukan disebabkan faktor Lim Guan Eng tetapi ia ada kaitannya.

Perniagaan menguncup di Hong Kong kerana demonstrasi pro-demokrasi seperti yang digelar media barat.

“Politik lah itu. Dan akibatnya ialah tergoncang kuat jugalah keyakinan ekonomi di Hong Kong. Bila politik goncang, goncang juga lah ekonomi.

“Di Malaysia tak ada pula demonstrasi pro-demokrasi sebesar mana dan berulang kali macam di Hong Kong. Adalah juga disebut-sebutkan oleh menteri mengenai “deep state” dan pengisytiharan perang terhadap orang bukan-Islam. Tapi itu semua cakap politik yang tak bawa kepada keyakinan politik. Maknanya politik goncang juga. Dan kesannya kepada ekonomi negara,” katanya sambil berkongsi perbualan dengan rakan-rakannya berhubung peralihan kuasa.

Shahrir berkata: “Dari perbualan saya dengan ahli-ahli perniagaan, mereka tertanya-tanya terhadap peralihan kuasa dari Tun Mahathir ke Anwar Ibrahim. Jadi ke? Tak jadi ke? Kalau jadi, bila? Kalau jadi, siapa TPM? Takkan Wan Azizah!”.

Katanya, insiden video Sandakan, kenyataan awal Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ketua Polis Negara berhubung isu itu juga menyebabkan ahli-ahli perniagaan keliru.

“Ramai kawan-kawan saya yang berniaga sememangnya keliru dengan politik hari ini dan juga politik dalaman PH! Rata-rata di JB, mereka berkata business dah down 30%. Dan nampak macam berterusan…,” ujarnya. – MalaysiaGazette