Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ahmad Hamid Bador (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (dua kanan) merasmikan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat PDRM diiringi Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar (kanan) dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob (kiri) di Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mewujudkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) mampu menimbulkan kesedaran kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap manfaat yang boleh diperoleh daripada pembacaan.

Malah, kempen tersebut dianggap tepat pada waktunya dan warga PDRM digalakkan supaya mengamalkan budaya itu, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, warga PDRM perlu mengambil serius terhadap saranan kerajaan itu lebih-lebih lagi tabiat membaca merupakan satu perkara yang amat baik.

“Untuk melahirkan zuriat yang cerdik melalui membaca itu dapat meningkatkan ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen DMK peringkat PDRM di Maktab Polis Cheras, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa penganjur kempen DMK PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hamid berkata, PDRM menyokong sepenuhnya usaha murni itu ke arah melahirkan warga pasukan yang berilmu, cerdas serta berdaya saing.

Ia secara langsung dapat membentuk amalan tadbir urus yang baik serta perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat, ujarnya.

“Jawatankuasa Dekad Membaca Kebangsaan PDRM akan diwujudkan dan fungsinya diselaraskan di setiap peringkat pasukan.

“Saya menyeru kepada seluruh warga pasukan untuk sama-sama menhyambut baik kempen DMK ini sebagai tanda sokongan PDRM ke arah melahirkan generasi celik minda dan berilmu.

“Apa yang pasti, budaya membaca mempu meningkatkan pengetahuan, menjadikan pemikiran berkembang serta membolehkan kita menjana idea-idea yang bernas lagi relevan seiring dengan slogan membaca jambatan ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast